DALAM usaha untuk memajukan industri buku serta menyuburkan budaya membaca di kalangan masyarakat di negara ini, Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Ekspo Buku 1Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa baru-baru ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat berilmu dan berpengetahuan melalui membaca selain berfikiran ingin tahu, kreatif dan berdaya saing.
“Amalan membaca perlu dijadikan budaya oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia kerana jika tidak, mereka akan terus ketingggalan dan gagal bersaing dalam era ilmu dan ledakan maklumat serta dunia yang penuh persaingan masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut beliau, berpandukan analisis kajian beberapa tahun kebelakangan ini, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa penduduk Malaysia secara umumnya semakin gemar membaca.
“Di peringkat pengajian tinggi, kajian mendapati mahasiswa negara ini membaca empat buah buku setahun, manakala pensyarah pula membaca 20 buku untuk tiga tahun pengajian” jelasnya.
Selain itu katanya, melalui program Penerbitan Berimpak Tinggi, universiti-universiti penyelidikan (RUs) akan menyediakan mentor kepada IPTA yang mengambil bahagian dalam menggalakkan penerbitan bersama.
“Ini termasuklah membangunkan dasar-dasar pentadbiran yang bersesuaian untuk menggalakkan penerbitan akademik yang berkualiti, bekerjasama di peringkat antarabangsa dan menjalankan pelbagai program khusus untuk meningkatkan kadar penerbitan dalam kalangan ahli akademik,” terangnya.
Beliau menambah, kementerian akan sentiasa membantu untuk memperhebatkan usaha memperbanyakkan penerbitan buku sama ada berbentuk cetakan atau e-book.
**Excerpt taken from http://www.mohe.gov.my/
No comments:
Post a Comment