GOLONGAN
mahasiswa mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan program
transformasi negara khususnya melalui pendekatan Program Transformasi Kerajaan
(GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin.
Menurut
Menteri Pengajian Tinggi itu, mahasiswa adalah golongan penting sebagai agen
perubahan yang mempunyai rantaian luas dan menyeluruh dalam negara.
“Sehubungan
itu, mahasiswa mempunyai cabaran untuk memikul tiga peranan besar bagi
merealisasikan GTP dan ETP,” katanya ketika melancarkan siri Jelajah Penerangan
GTP dan ETP di Universiti Putra Malaysia, Serdang baru-baru ini.
Peranan
pertama mahasiswa adalah sebagai penyedar dan penyebar kesedaran nasional yang
penting serta utama.
Hal ini
kerana mahasiswa mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat
mempengaruhi dan memberi keyakinan agar orang ramai bersama-sama menyokong
serta menyertai arus pembangunan negara melalui GTP dan ETP.
“Usaha untuk
menyebarluas mengenai maklumat dan kesedaran terhadap GTP dan ETP boleh
dilakukan melalui kelab-kelab 1Malaysia yang telah ditubuhkan di institusi pengajian
tinggi awam (IPTA),” saran Mohamed Khaled.
Peranan
kedua, mahasiswa melalui program serta aktiviti yang menjadi tumpuan GTP dan
ETP boleh membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan.
Kekuatan
tersebut tidak boleh dibina hanya melalui ilmu dan pengetahuan yang
‘diturunkan’ oleh para pensyarah dalam bilik-bilik kuliah, sebaliknya melalui
penglibatan aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawan yang akhirnya memberi
kekuatan sahsiah kepada golongan mahasiswa.
“Saya akan
meminta pihak Kementerian agar dapat mewujudkan satu mekanisma penilaian dalam
memastikan bahawa keterlibatan mahasiswa menerusi aktiviti yang berasaskan
kepada ETP & GTP ini dapat dinilai secara berkredit bagi meningkatkan lagi
semangat mereka untuk melibatkan diri dalam agenda negara yang amat penting
ini,” jelasnya.
Peranan
ketiga mahasiswa adalah sebagai penyelesai kepada isu serta cabaran semasa dan
masa hadapan. Dalam konteks ini, mahasiswa perlu mencabar bakat dan potensi
diri untuk bersedia menyumbang dalam memberikan jawapan terhadap isu serta
cabaran bagi merancakkan usaha negara menjayakan
GTP dan ETP sekali gus mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang
tahun 2020.
Mohamed
Khaled berkata, program-program berbentuk keusahawanan sosial (social
entrepreneurship) perlu digerakkan secara lebih meluas kerana ia merupakan satu
nadi penting sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi
dan sosial masyarakat di luar kampus.
“Penglibatan
mahasiswa dalam merungkai permasalahan masyarakat bukan sahaja memperlihatkan
nasib masyarakat itu dibela, tetapi yang lebih penting, mahasiswa didedahkan dengan
nilai-nilai seperti kreativiti, berkolaborasi, memahami keutamaan, berfi kir
secara kritikal, berdaya tahan dan empati yang tinggi untuk menjawab
persoalan-persoalan sosial dan masa kini.
“Nilai-nilai
ini jugalah yang melayakkan mahasiswa kita memiliki keperibadian unggul yang ememangnya
menjadi tuntutan majikan dan industri masa kini,” ujarnya.
Seterusnya,
Mohamed Khaled optimis, kejayaan transformasi
negara menerusi GTP dan ETP akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat jika
gelombang tenaga serta idea daripada 1.2 juta mahasiswa yang merupakan golongan
berilmu ini dapat digembelengkan dengan teratur dan bertempat.
Justeru,
golongan mahasiswa harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif,
proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab
bagi menjamin kelangsungannya secara lestari.
Hal ini
kerana, golongan muda negara ini tidak sahaja hanya tahu mengutarakan pelbagai permasalahan,
malah turut sama membawa penyelesaian
dan cadangan penambahbaikan kepada permasalahan tersebut.
**Excerpt taken from http://www.mohe.gov.my/
No comments:
Post a Comment