Showing posts with label Excerpt. Show all posts
Showing posts with label Excerpt. Show all posts

Mahasiswa agen penyedar, penyebar program transformasi negara



GOLONGAN mahasiswa mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan program transformasi negara khususnya melalui pendekatan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi itu, mahasiswa adalah golongan penting sebagai agen perubahan yang mempunyai rantaian luas dan menyeluruh dalam negara.

“Sehubungan itu, mahasiswa mempunyai cabaran untuk memikul tiga peranan besar bagi merealisasikan GTP dan ETP,” katanya ketika melancarkan siri Jelajah Penerangan GTP dan ETP di Universiti Putra Malaysia, Serdang baru-baru ini.

Peranan pertama mahasiswa adalah sebagai penyedar dan penyebar kesedaran nasional yang penting serta utama.

Hal ini kerana mahasiswa mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan memberi keyakinan agar orang ramai bersama-sama menyokong serta menyertai arus pembangunan negara melalui GTP dan ETP.

“Usaha untuk menyebarluas mengenai maklumat dan kesedaran terhadap GTP dan ETP boleh dilakukan melalui kelab-kelab 1Malaysia yang telah ditubuhkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” saran Mohamed Khaled.

Peranan kedua, mahasiswa melalui program serta aktiviti yang menjadi tumpuan GTP dan ETP boleh membangunkan keperibadian, idealisme, kemahiran dan kepemimpinan.

Kekuatan tersebut tidak boleh dibina hanya melalui ilmu dan pengetahuan yang ‘diturunkan’ oleh para pensyarah dalam bilik-bilik kuliah, sebaliknya melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sosial dan kesukarelawan yang akhirnya memberi kekuatan sahsiah kepada golongan mahasiswa.

“Saya akan meminta pihak Kementerian agar dapat mewujudkan satu mekanisma penilaian dalam memastikan bahawa keterlibatan mahasiswa menerusi aktiviti yang berasaskan kepada ETP & GTP ini dapat dinilai secara berkredit bagi meningkatkan lagi semangat mereka untuk melibatkan diri dalam agenda negara yang amat penting ini,” jelasnya.

Peranan ketiga mahasiswa adalah sebagai penyelesai kepada isu serta cabaran semasa dan masa hadapan. Dalam konteks ini, mahasiswa perlu mencabar bakat dan potensi diri untuk bersedia menyumbang dalam memberikan jawapan terhadap isu serta cabaran bagi merancakkan usaha negara menjayakan GTP dan ETP sekali gus mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Mohamed Khaled berkata, program-program berbentuk keusahawanan sosial (social entrepreneurship) perlu digerakkan secara lebih meluas kerana ia merupakan satu nadi penting sumbangan mahasiswa dalam membantu kegiatan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat di luar kampus.

“Penglibatan mahasiswa dalam merungkai permasalahan masyarakat bukan sahaja memperlihatkan nasib masyarakat itu dibela, tetapi yang lebih penting, mahasiswa didedahkan dengan nilai-nilai seperti kreativiti, berkolaborasi, memahami keutamaan, berfi kir secara kritikal, berdaya tahan dan empati yang tinggi untuk menjawab persoalan-persoalan sosial dan masa kini.

“Nilai-nilai ini jugalah yang melayakkan mahasiswa kita memiliki keperibadian unggul yang ememangnya menjadi tuntutan majikan dan industri masa kini,” ujarnya.

Seterusnya, Mohamed Khaled optimis,  kejayaan transformasi negara menerusi GTP dan ETP akan dapat direalisasikan dengan lebih cepat jika gelombang tenaga serta idea daripada 1.2 juta mahasiswa yang merupakan golongan berilmu ini dapat digembelengkan dengan teratur dan bertempat.

Justeru, golongan mahasiswa harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif, proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungannya secara lestari.

Hal ini kerana, golongan muda negara ini tidak sahaja hanya tahu mengutarakan pelbagai permasalahan, malah turut sama  membawa penyelesaian dan cadangan penambahbaikan kepada permasalahan tersebut.

**Excerpt taken from http://www.mohe.gov.my/

Amalan membaca majukan industri buku negara




DALAM usaha untuk memajukan industri buku serta menyuburkan budaya membaca di kalangan  masyarakat di negara ini, Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Ekspo Buku 1Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat berilmu dan berpengetahuan melalui membaca selain berfikiran ingin tahu, kreatif dan berdaya saing.

“Amalan membaca perlu dijadikan budaya oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia kerana jika tidak, mereka akan terus ketingggalan dan gagal bersaing dalam era ilmu dan ledakan maklumat serta dunia yang penuh persaingan masa kini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut beliau, berpandukan analisis kajian beberapa tahun kebelakangan ini, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa penduduk Malaysia secara umumnya semakin gemar membaca.

“Di peringkat pengajian tinggi, kajian mendapati mahasiswa negara ini membaca empat buah buku setahun, manakala pensyarah pula membaca 20 buku untuk tiga tahun pengajian” jelasnya.

Selain itu katanya, melalui program Penerbitan Berimpak Tinggi, universiti-universiti penyelidikan (RUs) akan menyediakan mentor kepada IPTA yang mengambil bahagian dalam menggalakkan penerbitan bersama.

“Ini termasuklah membangunkan dasar-dasar pentadbiran yang bersesuaian untuk menggalakkan penerbitan akademik yang berkualiti, bekerjasama di peringkat antarabangsa dan menjalankan pelbagai program khusus untuk meningkatkan kadar penerbitan dalam kalangan ahli akademik,” terangnya.

Beliau menambah, kementerian akan sentiasa membantu untuk memperhebatkan usaha memperbanyakkan penerbitan buku sama ada berbentuk cetakan atau e-book.


**Excerpt taken from http://www.mohe.gov.my/